Ustaz Ahmad Dusuki saman Jeming RM 1 juta

 

Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani, penceramah yang diminati ramai hari ini memulakan tindakan saman dengan tuntutan ganti rugi RM 1 juta terhadap Hazmi Hassan, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan atas dakwaan fitnah.

Ustaz Ahmad Dusuki yang juga Yang Dipertua Parti Islam Semalaysia (PAS) Kawasan Shah Alam menuntut ganti rugi terhadap Hazmi yang turut dikenali sebagai Jeming atas satu kandungan video yang mengandungi kenyataan fitnah.

Portal Shah Alam mendapatkan pengesahan daripada firma Tetuan Srihana Mohamad & Partners melalui peguam Ustaz Ahmad Dusuki, Tetuan Mohd Jamil Yaacob berkaitan notis tuntutan tersebut.

Tuntutan itu dipercayai berkaitan kandungan video YouTube dimuat naik berupa fitnah atas kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Dusuki berkaitan Lembaga Tabung Haji semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Notis itu juga menuntut Jeming membuat permohonan maaf melalui tulisan dalam akhbar Sinar Harian, Harakah, Utusan Malaysia dan Berita Harian selama tiga hari berturut-turut.

Jeming juga dikehendaki memohon maaf secara terbuka kepada Ustaz Ahmad Dusuki di YouTube dan Facebook dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat berkenaan.

“Kami telah diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa keseluruhan video yang dibuat mengandungi kata-kata fitnah secara langsung, tersirat dan innuendo sedangkan apa yang dibangkitkan anak guam kami adalah benda yang benar.

“Kami diarahkan oleh anak guam kami bahawa dalam maksud yang biasa kata-kata kamu memberi maksud bahawa anak guam kami adalah pemfitnah, pembohong, pendusta dan tidak layak digelar ustaz dan bermacam-macam lagi maksud jelik.”

“Kamu juga dikehendaki menulis sesalinan surat permohonan maaf kepada anak guam kami dan mengakui tidak akan mengulangi perbuatan seumpama ini ke atas anak guam kami.”

“Dalam masa yang sama kamu juga hendaklah membayar ganti rugi sebanyak RM1 juta kerana tercemarnya reputasi anak guam kami,” jelas nota tuntutan tersebut.


Comments