CHEMISTRY ANWAR - ZAHID PUNCA KERUNTUHAN MN

 

Oleh: Mohd Zuhdi Marsuki

Tanggal 14 September 2025 yang lalu adalah ulangtahun keenam penubuhan secara rasmi Muafakat Nasional (MN). Walaupun MN hanya mampu bertahan tiga tahun, semua pihak perakui bahawa MN adalah ketumbukan besar yang bermomentum tinggi dalam mencorakkan politik Malaysia. Kewujudan MN menjadi ancaman paling besar terhadap potensi Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU ke-15 pada ketika itu. Oleh sebab itu, bila Piagam MN dimeterai pada tanggal tersebut, pastinya PH yang paling inginkan MN cepat-cepat berkubur.

Sehari dua ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, telah membangkitkan kembali punca-punca keruntuhan MN. Dr Asyraf sekali lagi menuduh PAS sebagai punca utamanya, malah PAS dituduh menikam UMNO dari belakang. Dr Asyraf juga mendakwa tindakan PAS secara senyap-senyap menjadi penaja Perikatan Nasional (PN) dengan membelakangkan keputusan bersama di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN, sebagai titik mula keruntuhan MN. Jelas sekali, Dr Asyraf cuba meyakinkan khalayak punca-punca keruntuhan MN menurut versi beliau.
Ketika MN ditubuhkan pada 14 September 2019, hubungan PAS dan UMNO baru sahaja berputik. Memang benar, sebelum termeterainya Piagam MN, PAS dan UMNO mengambil masa hampir satu dekad untuk memecahkan tembok perbezaan dan kemudian mulai untuk duduk semeja. Pada ketika itu, ada segelintir pemimpin PAS memberontak dengan penjajaran politik baharu yang diterokai oleh Majlis Syura Ulama PAS (MSU). Setelah berdekad-dekad PAS dan UMNO berseteru dengan perseteruan tajam, Piagam MN hanya satu permulaan awal untuk berjuang bersama.
Dalam tempoh persefahaman sesingkat itu, berbanding tempoh perseteruan yang panjang sebelum ini, semestinya sesekali berlaku juga lidah tergigit atau tersepak kaki sesama sendiri. Sememangnya ada berlaku kekhilafan antara PAS dan UMNO sewaktu bersama di dalam MN. Bohonglah jika dikatakan hubungan PAS dan UMNO sentiasa harmoni semasa di dalam MN, apa lagi bila melibatkan ahli-ahli akar umbi PAS dan UMNO yang mencecah hampir lima juta orang. Yang penting ketika itu ialah pengurusan konflik agar kekhilafan tidak membawa perpecahan.
Jawatankuasa Induk MN yang dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Presiden kedua-dua parti, telah berjaya menguruskan konflik-konflik yang timbul. Antara kekhilafan yang paling besar ialah apabila PAS secara senyap-senyap menyertai BERSATU mendaftarkan PN secara rasmi. UMNO dilihat benar-benar kecewa dengan tindakan PAS tersebut, tetapi kemelut ini akhirnya berjaya diselesaikan secara harmoni di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN. Peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Induk MN itu benar-benar berkesan.
Bagaimanapun, selepas itu berlaku satu peristiwa yang tidak disangka, apabila terbocor komplot antara Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Presiden PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim, untuk menumbangkan kerajaan bersama PAS, UMNO dan BERSATU. Surat Presiden UMNO kepada Yang Di Pertuan Agung telah terbocor, iaitu membuat perakuan untuk memberi mandat kepada Anwar menjadi Perdana Menteri. Sebenarnya, tindakan seperti ini yang boleh disebut benar-benar menikam rakan daripada belakang.
Setakat ingatan saya, PAS tidak bertindak gopoh apabila Presiden UMNO menikam PAS dan BERSATU dari belakang. Di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN, PAS tidak bertindak menyerang UMNO berhubung dengan tindakan Presiden mereka. Wakil-wakil PAS hanya menyentuh perkara ini seperti angin lalu sahaja di dalam mesyuarat, demi untuk tidak mengeruhkan lagi situasi yang sudah sedia berkeladak ketika itu. Jawatankuasa Induk MN memberi fokus untuk membaiki kerosakan yang timbul ekoran daripada surat Presiden UMNO yang terbocor.
Malangnya, keintiman hubungan Presiden UMNO dan Presiden PKR tidak berakhir di situ. Pemimpin-pemimpin PAS dan juga pemimpin-pemimpin UMNO mungkin terlupa "chemistry" hubungan antara Dr Ahmad Zahid dan Anwar sudah lama wujud sejak sebelum era Reformasi tahun 1998 lagi. Chemistry itu bukan hanya antara mereka berdua, tetapi juga antara lingkaran atau "circle" kedua-dua mereka. Sekali lagi, politik Malaysia digemparkan apabila terbocornya perbualan telefon antara "cikgu" dan "murid", yang mengatur halatuju politik UMNO ketika itu.
Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO, sama ada sedar atau tidak, halatuju politik parti mereka termasuk penjajaran kerjasama sebelum dan selepas pilihanraya, tidak lagi mempunyai kaitan dengan Piagam MN yang dimeterai. Berdasarkan perbualan telefon yang bocor, cikgu dan murid tersebut seolah-olah sedang berkomplot untuk menentukan ke arah manakah halatuju politik UMNO mahu dibawa. Sehingga hari ini, sama ada cikgu ataupun muridnya tidak menafikan ketulenan audio tersebut apalagi menafikan kandungan yang diperbualkan.
Seperti yang saya sebut diawal rencana ini, pihak yang paling berharap MN akan berkubur ialah PH khususnya PKR. Jika demikian, apa cara yang boleh dilakukan oleh PH untuk menguburkan MN? PH tidak boleh mendekati PAS untuk menjadi aktor membunuh MN, kerana perseteruan PAS dan PH yang sangat tajam. PH tidak boleh gunakan BERSATU untuk membunuh MN kerana BERSATU bukanlah anggota MN pada ketika itu. Pihak mana dan siapakah yang boleh ditunggangi oleh PH untuk menjayakan misi mereka? Saya yakin pembaca sudah tahu jawapannya.

Comments