TANAH PENEROKA YANG DIRAMPAS OLEH UMNO-BN AKAN DIKEMBALIKAN KE PANGKUAN RAKYAT

 


Oleh: Teganukita

Isu pemilikan tanah peneroka di Cakuh 9, Jerangau yang berlarutan lebih empat dekad menunjukkan perkembangan positif apabila KETENGAH bersetuju membuka semula pelan penyerahan tanah kepada Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada 80 peneroka asal yang telah mengusahakan tanah tersebut sejak 1985.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menjelaskan, masalah berpunca daripada keputusan kerajaan terdahulu yang menyerahkan tanah rakyat kepada KETENGAH pada 2010, walaupun peneroka telah lama membangunkan kawasan tersebut secara sah.
Beliau turut mendedahkan bahawa ketika berada dalam Lembaga Pengarah KETENGAH, satu keputusan telah dibuat untuk memulangkan tanah kepada kerajaan negeri, dan sebagai gantinya, tanah lain akan diberi kepada KETENGAH.
Namun, pelan itu tergendala akibat perubahan kepimpinan politik dan Pengerusi KETENGAH ketika itu.
Ketegangan memuncak pada Disember 2024 apabila notis baharu KETENGAH ditampal di ladang sawit, mencetuskan konflik terbuka dengan peneroka.
Kini, selepas perubahan kepimpinan, KETENGAH kembali bersetuju melaksanakan pelan penyelesaian asal dengan kerjasama penuh kerajaan negeri.
Dr. Azman menyifatkan perkembangan ini sebagai langkah tepat untuk menamatkan kemelut lebih 40 tahun.

Comments