Penyokong Najib hilang percaya kepada Ahmad Zahid

 


Pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung tidak lama lagi akan menjadi referendum dan pungutan suara tidak percaya kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, proses pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu dilakukan secepat mungkin selepas usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dilihat sebagai 'kebenaran khas' untuk Ahmad Zahid mengekalkan jawatan.

"Sebagai ahli UMNO kami telah hilang kepercayaan terhadap Presiden kerana beliau menjadikan UMNO seolah-olah milik individu dan sesiapa sahaja yang menyuarakan pendapat bertentangan akan dipecat atau digantung," dakwanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Syed Muhammad Imran turut mendakwa semua ahli dan penyokong Najib atau dikenali sebagai Bossku menzahirkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN ini.

"Mari kita jadikan PRN ini sebagai referendum dan pungutan suara tidak percaya kepada Ahmad Zahid," katanya.

Beliau berharap kepimpinan PN akan menyambut tangan mereka untuk bersama.

"Kami sudah tidak selesa lagi apabila Ahmad Zahid berterusan mempergunakan kami untuk menyokong beliau dengan menunggang nama Najib," katanya.

Syed Muhammad Imran turut berharap agar PN dapat membawa semula kesatuan ummah dan menolak penguasaan DAP yang merupakan musuh tradisi UMNO.


Comments