Tak perlu bicara kes rasuah timbalan perdana menteri, itu urusan mahkamah

 


Perdana Menteri membidas pembangkang yang mendakwa usahanya membanteras rasuah tidak selari dengan tindakan melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid sebagai timbalannya.

Ini kerana Presiden UMNO itu berhadapan dengan kes melibatkan rasuah di mahkamah.

Anwar menjelaskan, beliau tidak pernah campur tangan dengan mengganggu perjalanan kes perbicaraan yang dihadapi Ahmad Zahid sepanjang menjadi perdana menteri sejak tujuh bulan lalu.

Malah beliau menyerahkan kes itu kepada mahkamah kerana kejayaan kerajaan yang lebih besar apabila telus dalam pemberian kontrak yang tidak melibatkan mana-mana kroni dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Ada orang bangkit Anwar ambil timbalan perdana menteri orang UMNO. Masih dalam siasatan (perbicaraan), saya tidak ganggu. Itu urusan mahkamah.

“Tetapi yang penting sejak tujuh bulan kita pegang kerajaan, satu kontrak pun kita tidak tolak-ansur.

“Tak boleh izin mana-mana keluarga menteri ambil kepentingan daripada projek itu. Bagi saya itu kejayaan besar, bagi mereka tidak nampak langsung hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Qurban Perdana Madani di Kawasan Perniagaan Arowana Permatang Pauh, Seberang Perai Utara hari ini.

Beliau menjawab isu yang cuba dipermainkan pihak pembangkang apabila melaungkan usahanya membanteras rasuah dan perlu tatakelola baik namun mempunyai timbalan perdana menteri yang berdepan kes rasuah.

Ahmad Zahid ketika ini membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Mengulas lanjut, Anwar juga pelik dengan tindakan pembangkang yang mempersoalkan beliau gagal menjadi perdana menteri dalam tempoh tujuh bulan.

Ujar beliau, dalam tempoh singkat itu mustahil untuk seorang perdana menteri membuktikan sesuatu sedangkan beliau mengambil alih kerajaan yang mempunyai hutang negara mencecah RM1.2 trilion. – MG

Comments