Surat saman: Sanusi jawab Saifuddin

 


Oleh: Harakahdaily

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dinasihatkan agar mempunyai dokumen serta data yang lengkap sebelum ‘menyerbu’ dan menuduh orang secara melulu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jangan hanya menuduh orang lain tidak mengikut tata kelola sedangkan dirinya sendiri tidak mematuhi dan menyerbu orang lain sesuka hati.

“Jangan dok serbu tak pakai helmet. Sebagai menteri, dia kenalah ada dokumen dan data lengkap barulah boleh cerita apa yang dia patut cerita. Ini dok buat kerja dekat rumah orang, langkah petak orang. Semua itu patut dipatuhi,” kata beliau pada sidang media di Pejabat Daerah Bandar Baharu, hari ini.

Ujar Sanusi lagi, beliau tidak pernah menerima surat saman seperti yang didakwa oleh Menteri Dalam Negeri (KDN) kononnya atas kesalahan mencuri bahan nadir bumi (REE) di Kampung Chong, Sik.

“Saya tidak pernah terima surat saman, kalau dia (Saifuddin) sebut sendiri saya ada terima, maknanya dia berniat jahat. Sikap begitu bukan lagi bertujuan untuk kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi jelas mempamerkan kejahatan,” bidasnya lagi.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Incorporated (MBI) merupakan pemegang lesen hutan yang sah dan menerima surat saman atas kawalan kawasan yang dipertanggungjawabkan bukan mencuri REE.

Sebalik jelasnya lagi, individu lain dikenakan kompaun sebanyak RM500,000 atas kesalahan berkenaan dan dimaklumkan telah membayar saman terbabit pada 10 Oktober 2022 lalu.

“MBI dikenakan kompaun kerana pemegang permit ladang hutan. Permit ladang hutan kena mohon kepada jabatan hutan.

“MBI telah melantik satu syarikat usahasama untuk membangunkan ladang hutan. Syarikat usahasama itu pun tidak dikompaun tetapi hanya pihak ketiga yang menceroboh dan membuat kegiatan mencuri sahaja dikenakan tindakan membayar kompaun RM500,000 itu,” tegas beliau sambil mempamerkan surat tawaran kompaun kepada penceroboh terbabit kepada media.

Dalam perkembangan yang sama, pihaknya lebih memilih agar penceroboh terbabit membayar kompaun kerana bayaran tersebut akan diperolehi pemilik tanah (kerajaan negeri), berbanding melalui pendakwaan mahkamah, denda dibayar kepada kerajaan persekutuan.

“Jadi tidak perlulah bawa cerita separuh masak, separuh benar ni, habaq orang rata, confident, buka buku. Tapi tarikh pun salah, proses 4 Oktober, dia (Saifuddin) sebut 5 Oktober. Ambil maklumat yang tak ‘diupdate’ (kemaskini), mungkin dia curi.

“Menteri KDN tak boleh buat kerja macam tu. Buatlah kerja ikut saluran undang-undang. Mai tengok surat nama siapa yang kena kompaun. kerajaan ada dokumen.

“Tapi Menteri KDN ini lebih suka tinggal kerja hakiki dia, pi buat kerja orang lain. Buat kerja Kementerian Kewangan kemudian nak jadi menteri tanah dan sumber asli pula. Pi la jaga KDN. KDN kan banyak isu. Yang pi buat kerja orang lain pasal apa,” bidas beliau lagi.

Sungguhpun begitu, Sanusi mengalu-alukan dan menjemput bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu membangkitkan lagi apa-apa isu dan bersedia menjawabnya 24 jam.

Comments