Ronnie Liu keluar dari parti DAP

 


AHLI Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu membuat keputusan menamatkan keahlian dan berundur diri daripada parti itu.

Perkara itu diumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek itu menerusi surat yang dikongsikan di Facebook, hari ini.

Dalam surat kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bertarikh 23 Jun itu, Ronnie berkata, beliau membuat keputusan untuk menamatkan keahlian DAP yang telah disertainya sejak 41 tahun berkuat kuasa esok.

Menurut Ronnie, keputusan itu dilakukan kerana banyak perkara telah berlaku dan berada di luar jangkaannya.

“Saya adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang akan tamat perkhidmatan pada tahun 2025.

“Saya melibat diri dalam perjuangan DAP semenjak di peringkat sekolah menengah dan telah menjadi ahli DAP pada tahun 1982.

“Namun, 41 tahun berlalu dan bersama DAP, banyak perkara telah berlaku dan ada yang di luar jangkaan saya. Dengan itu, saya memohon untuk menamatkan keahlian bersama DAP berkuat kuasa mulai 24 Jun,” katanya.

Mengulas lanjut, Ronnie turut merakamkan penghargaan atas segala peluang dan keyakinan yang telah diberikan kepada dirinya.

“Segala peristiwa manis pahit, pengalaman suka duka dan pengetahuan yang dihulur parti kepada saya selama 41 tahun saya berkhidmat dan berjuang bersama DAP.

“Semoga DAP terus maju dan sentiasa memegang prinsip sosialisme demokratik dan konsep perjuangan ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’,” katanya.

Comments