Meskipun mempunyai seorang timbalan perdana menteri yang
terpalit dengan pendakwaan rasuah di mahkamah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim
tetap tampak garang dengan kempen antirasuah, membersihkan pentadbiran dan
memastikan ketelusan dalam negara.
Jargon yang sering keluar dalam ucapannya sudah boleh diagak
kerana kerap diulang-ulang.
“Tata kelola”, “sakau” dan “perasuah” hampir setiap hari
disebut, tambah-tambah apabila beliau kini sedang giat mengadakan program
jelajah di seluruh negara membabitkan mahasiswa universiti.
Anwar juga tidak membuang masa mencari kesalahan dan kes-kes
terkait perihal integriti membabitkan pihak lawan selepas menduduki Perdana
Putra.
Sehingga kini, dua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN)
sudah pun didakwa termasuk bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.
Namun dalam keadaan kos sara hidup yang masih belum selesai,
pelan ekonomi yang masih kabur, ringgit yang merudum dan bursa yang semakin
menjunam, persoalan timbul mengenai keberkesanan kempennya itu.
Pemerhati politik Azizi Safar berkata, orang ramai tidak
menganggap Anwar serius melawan rasuah kerana timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi
masih mempunyai kes rasuah di mahkamah.
"Rakyat hendak tahu apa Anwar hendak buat untuk
pulihkan ekonomi negara. Rakyat juga hendak tahu apa beliau ingin laksanakan
untuk turunkan kos sara hidup rakyat dan harga barangan keperluan harian. Ini
lebih penting bagi mereka," katanya.
Ringgit jatuh ke RM4.60 berbanding AS$1 pada 20 Jun dan
berada dalam trend menurun sejak Januari lalu.
Selain itu, ramai masih merungut tentang kenaikan harga
barang.
Anwar juga baru-baru ini mengakui dasar kerajaannya
“flip-flop” akan tetapi disebabkan mahu membantu rakyat.
Ini selepas pentadbirannya membuat pusingan U dalam beberapa
perkara termasuk subsidi ayam dan telur serta pemberian biasiswa Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) katanya.
Media juga melaporkan pelabur asing menjual saham selama
sembilan minggu berturut-turut.
Menurut Azizi yang merupakan bekas setiausaha eksekutif
Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, subsidi bersasar masih gagal dilaksanakan
walaupun kerajaan campuran berjanji ingin menyelesaikan perkara itu dalam masa
dua minggu.
"Kesimpulannya, rakyat melihat cakap Anwar yang ingin
melawan rasuah habis-habisan hanya retorik politik kempen pilihan raya yang
tidak pernah terhenti.
“Beliau masih berkempen untuk menang pilihan raya walaupun
sudah menjadi perdana menteri," katanya.
Ia jelas berbeza dengan kempen Dr Mahathir Mohamad semasa
ingin menjatuhkan BN pada 2018 yang ketika itu di bawah pentadbiran Najib
Razak.
Pengundi dilihat benar-benar marah dengan kes-kes
membabitkan dana 1MDB.
Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia,
Azmil Tayeb berkata beliau tidak merasakan strategi Anwar berkesan dalam memacu
usaha antirasuahnya.
"Rakyat masih tidak dapat melihat perubahan yang ketara
dari segi kebaikan ekonomi.
“Sepatutnya Anwar mensosialisasikan pencapaian ekonomi
kerajaan dalam program jelajah ini supaya rakyat tahu apa yang sudah dibuat
oleh kerajaan sekarang," ujar beliau.
Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menulis
dalam laman web fulcrum.sg berkata, kemarahan Melayu ialah kerana hipokrasi
pentadbiran sedia yang bercakap mengenai menghapuskan rasuah namun pada masa
sama, memasukkan kepimpinan Umno yang tercemar dalam Kabinet.
Menurut beliau, enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal
tiba akan dilihat sebagai tsunami ketidakpuasan hati dan bukannya “Gelombang
Hijau”seperti yang disebut-sebut oleh beberapa pihak sebelum ini.
Dalam pada itu, pemerhati politik veteran Zin Mahmud
berkata, mengutamakan tata kelola adalah penting dan perlu sentiasa diamalkan
namun pada waktu ini, keutamaan perdana menteri seharusnya menyelesaikan
cabaran masa kini seperti ekonomi, teknologi, keselamatan dan alam sekitar.
"Perdana menteri perlu lebih banyak duduk di pejabat
bagi mencari penyelesaian cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara," kata
Zin yang juga bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Katanya, Anwar juga wajar memberi perhatian kepada
permasalahan rakyat membabitkan harga barangan, selain pelaburan dan tukaran
mata wang.
“Perdana menteri juga wajar mempunyai visi mengenai sains
dan teknologi bagi negara.
“Teknologi lebih penting daripada Madani," katanya. - Tukar Tiub
Comments
Post a Comment