15/04/1999
Khirul Bahri Basaruddin; Anwar Hussin; Munira Yusof KUALA LUMPUR,
Rabu - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap kesalahan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan amalan rasuah yang dilakukannya pada 1997.
Hakim Datuk S Augustine Paul, memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini. Anwar yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh akan dipindahkan ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman itu. Anwar menjalani hukuman itu hari ini selepas Paul menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuannya didengar oleh Mahkamah Rayuan.
Mahkamah juga menolak permohonan ikat jamin Anwar yang dikemukakan menerusi peguam bela Raja Aziz Addruse. Paul yang membuat keputusan dalam penghakiman setebal 394 muka surat pada jam 9.30 pagi itu berkata: "Keputusan saya, selepas menimbangkan dengan teliti undang-undang dan fakta serta asas pada keseluruhannya, saya mendapati pendakwa berjaya membuktikan kesnya mengatasi keraguan munasabah.
"Saya mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan ke atasnya," katanya. Anwar yang berdiri dalam kandang tertuduh kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan oleh Paul.
Selepas keputusan dibacakan kedengaran bunyi seolah-olah orang mengeluh. Paul kemudian memerintahkan pembela mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman yang akan dijatuhkan ke atas tertuduh. Raja Aziz memohon penangguhan 10 minit bagi berbincang dengan Anwar dan ia dibenarkan oleh Paul.
Sebaik saja mahkamah ditangguhkan, Anwar keluar daripada kandang berkenaan dan menuju ke arah isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan anak mereka. Beliau memeluk Dr Wan Azizah dan anak mereka. Ketika ditanya wartawan mengenai reaksinya, Anwar berkata: "Dah dijangka, saya tidak terkejut, anda terkejut?" Dr Wan Azizah yang berdiri berhampiran Anwar, kedengaran berkata: "Ya Tuhanku." Apabila prosiding mahkamah bersambung pada jam 9.50 pagi, Raja Aziz memberitahu mahkamah Anwar sendiri akan mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman.
Paul membenarkan permohonan itu dan memberi tertuduh lima minit untuk membaca kenyataannya. Anwar dalam kenyataan itu banyak menyerang individu tertentu, polis, Peguam Negara dan mahkamah. Beliau diberi peringatan beberapa kali oleh Paul supaya memberi tumpuan kepada rayuannya. Beliau juga beberapa kali bertikam lidah dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, yang menegurnya supaya tidak terkeluar daripada kenyataan untuk meringankan hukuman. Anwar berkata, beliau telah dihukum berdasarkan kepada skrip yang ditulis oleh konspirator dan bukannya oleh mahkamah.
"Tetapi ingat, manusia terdiri daripada jasad dan jiwa. Jasad saya mungkin dikurung, tetapi jiwa saya tetap bebas." "Bagaimanapun, ada mereka pada zahirnya bebas tetapi semangat mereka terbelenggu, dipenjara oleh pangkat dan kedudukan malahan jiwa merekaboleh dibeli dan dijual," katanya.
Anwar berkata: "Harimau mati meninggal belang, manusia meninggal nama. Jika saya boleh menambah, apakah peninggalan seorang hakim? Sudah tentu penghakimannya. Jika penghakimannya adil, maka akan harum zaman berzaman. Sebaliknya, ketidakadilannya akan meninggalkan bau busuk hingga kiamat."
Mohtar pula memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman berat ke atas Anwar kerana menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan oleh Perdana Menteri dan kerajaan kepadanya. "Harap pagar, pagar makan padi. Dalam mengharapkan pagar, pagar musnahkan padi (merujuk kepada Anwar)," katanya.
Beliau berkata, untuk kepentingan awam hukuman penjara itu perlu dijalankan secara berasingan bagi tuduhan pertama dan ketiga serta tuduhan kedua dan keempat. Menurutnya, kenyataan tertuduh itu satu penghinaan bukan saja ke atas mahkamah, tetapi polis dan Peguam Negara.
Pada jam 10.35 pagi, Paul menjatuhkan hukuman penjara itu dan berkata: "Saya ingin membuat ulasan yang dibuat oleh tertuduh mengenai konspirasi politik. Bagi saya, isu itu tidak ada kaitan langsung. Saya ada jelaskan isu dalam penghakiman saya." Paul berkata, mungkin ada konspirasi daripada musuh tertuduh tetapi ia tidak mempunyai kaitan dengan kes yang dibicarakan kini.
Mengenai dakwaan Anwar yang beliau tidak mengharapkan keadilan, Paul berkata: "Saya tidak boleh berkata apa-apa, tetapi saya telah menjalankan tugas saya dengan sebaik mungkin dan ini jaminan saya." Menurutnya, Ordinan Nombor 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 diwujudkan untuk mendakwa ahli politik dan pegawai awam yang melakukan rasuah. "Kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius dan undang-undang yang berkaitan sudah diluluskan untuk mencegah ahli politik dan pegawai awam daripada menyalahgunakan kuasa mereka," katanya. Beliau menyebut satu kes membabitkan seorang pegawai rendah dihukum penjara dua tahun kerana menyalahgunakan kuasanya. "Berdasarkan kepada kes itu (Pendakwa Raya lawan Nunis), oleh kerana tertuduh adalah kapten dalam politik Malaysia dan orang nombor dua di negara ini, saya menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap anda," katanya.
Sebaik saja mahkamah tamat bersidang pada jam 11.15 pagi, Anwar kelihatan keluar daripada kandang tertuduh dan pada masa sama dua anak kecilnya yang memakai uniform sekolah masuk ke dalam mahkamah dan memeluknya serta Anwar memeluk kembali. Kedua-dua anaknya itu kelihatan berkata sesuatu kepada Anwar dan beliau menjawab: "Papa tidak boleh balik lagi. Papa kena duduk di situ, sikit lagi, sekejap lagi." Apabila ditanya wartawan berhubung hukuman penjara itu, Anwar berkata: "Ia ikut skrip. Saya tidak terkejut. Saya sudah beritahu awak, antara dua hingga empat tahun. Tidak ada apa-apa bezanya." Kepada soalan apa perasaannya beliau berkata: "Saya boleh menerimanya, tetapi keluarga mungkin agak sukar menerimanya. Kami mempunyai anak, tetapi saya tidak fikir Dr Mahathir (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) peduli.
Dr Mahathir tidak kesian mereka langsung." Seorang pegawai polis kemudian menghalang wartawan daripada terus bertanya Anwar dan beliau menjawab: "Biarkan mereka tanya soalan." Wartawan dan orang ramai kemudian diminta keluar daripada dewan mahkamah berkenaan. Dalam perbicaraan selama 78 hari, pembela memanggil 21 saksi termasuk Anwar sendiri. Dr Wan Azizah juga turut dipanggil untuk memberi keterangan bagi pihak pembela. Pembela sebelum ini memberitahu mahkamah, pihaknya tidak bercadang memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad; Menteri Kewangan yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas, Tun Daim Zainuddin; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, sebagai saksi.
Seramai 23 saksi pendakwa dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd Said Awang; timbalannya, Datuk Amir Junus; Deputi Superintendan Abdul Aziz Hussin; Asisten Komisioner Mazlan Mohd Din; Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri, Datuk Alias Ali; Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali. Pada 30 Januari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar membela diri terhadap empat tuduhan rasuah dan tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah pada 8 Februari lalu.
Anwar menghadapi empat tuduhan rasuah mengikut Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya. Bekas timbalan perdana menteri itu juga menghadapi satu lagi tuduhan amalan rasuah dan lima tuduhan liwat yang tempoh perbicaraannya ditetapkan antara Disember tahun lalu hingga Jun tahun ini. Lima tuduhan liwat itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, Paul belum menetapkan perbicaraan satu lagi kes amalan rasuah dan kes liwat. Beliau menetapkan supaya empat tuduhan rasuah dibicarakan dulu, bermula 2 November lalu.
Comments
Post a Comment