TERKINI: “Boleh Lantik Ahli Keluarga Tapi Tidak Boleh Beri Gaji”

 


Oleh: MyNetizen

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua anggota Kabinet dilarang memberi gaji atau ganjaran daripada peruntukan kerajaan kepada ahli keluarga, jika mahu melantik mereka sebagai penasihat atau pegawai masing-masing.

Perdana Menteri juga menegaskan, akan memastikan tiada sebarang pemberian kontrak bernilai jutaan ringgit kepada ahli keluarga kepada mana-mana anggota pentadbirannya sepanjang pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

Beliau mengambil maklum kritikan orang ramai terhadapnya, susulan pelantikan anaknya, Nurul Izzah, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, namun Anwar memberi jaminan pemberian kontrak kepada ahli keluarga tidak akan berlaku di bawah pentadbirannya.

“Tentunya saya mengambil pendirian tegas terhadap mereka yang menganugerahkan kontrak bernilai ratusan juta kepada anak, menantu ketika mereka memerintah. Kini, mereka pula mahu bercakap soal tadbir urus baik.

“Namun, saya hormati pandangan rakyat yang secara ikhlas bimbang jika kedudukan disalah guna untuk memperkayakan anggota keluarga mereka.

“Saya beri jaminan ini tidak akan berlaku di bawah pentadbiran saya. Mereka (anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan) tidak boleh berbuat demikian.

 “Jika kamu bercakap soal pemberian gaji dan ganjaran, Nurul Izzah tidak mengambil sebarang elaun dan beliau memiliki pengalaman dan kepakaran,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Comments