Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan terbuka menerima teguran serta kritikan terhadap tindakannya melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat khas ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.
Beliau menjelaskan tugas Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah untuk memastikan ketelusan dalam pentadbiran serta memantau urusan perolehan tender kerajaan supaya teratur.
"Saya terima baik teguran. Saya jelaskan, itu berbeda dengan pengalaman yang lalu, soal upah dan ganjaran. Dia datang untuk bantu, tiada kedudukan yang dipersoalkan iaitu satu ketelusan (dalam urusan pentadbiran), akan pastikan supaya kontrak tender teratur. Itu saja.
"Tidak memperkayakan mana-mana pegawai. Tidak wajar juga bagi orang yang memberikan ratusan juta kepada anak menantu semasa menjadi perdana menteri atau menteri dan sekarang cuba cakap soal ketelusan," katanya.
Mengulas kritikan mengenai amalan nepotisme, Anwar menjelaskan itu berlaku jika seseorang itu diberi jawatan untuk tujuan menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, menambah kontrak dan mahu mendapat upah yang tinggi.
"Jawatan yang berkait dengan JPM (Jabatan Perdana Menteri) dan MOF (Kementerian Kewangan) dan tiada ganjaran. Setakat ini tak pasti ada pejabat atau tak, (tapi) dia kena cari, tiada pejabat pun tak boleh jugak," katanya.

Comments
Post a Comment