BERNAS dan Naratif Dangkal


Oleh: Hezri Sardi

Baru baru ini kita tonton sidang media oleh Perdana Menteri tentang cara beliau menyelesaikan masalah beras. Menurut apa beliau kata, macam nak "pau" Syed Mokhtar Al Bukhari daripada untung BERNAS untuk "diberi" kepada pesawah miskin. Dia macam belum ada cara tapi dia kata dia dah tegur pemilik BERNAS itu. Adakah ini bercanggah dengan undang undang. Dulu saya pernah beri cadangan kepada Bank Negara untuk ambil alih pendapatan dollar daripada pengeksport, wakil persatuan perniagaan Cina terus melompat! Walhal idea saya ialah bukannya ambil alih secara percuma. Kerajaan ambil dollar milik pengeksport lalu memberikan ringgit atas nilai tukaran semasa. Ini Perdana Menteri nak paksa pemilik BERNAS beri berpuluh juta ringgit tanpa balasan, takkan tak melompat?

Sejarah. Pada awal abad ke 20, walaupun kilang kilang beras Melayu lebih banyak daripada Cina tetapi sedikit demi sedikit   Cina mengawal Melayu. Ada 3 punca utama:

1) Hutang / Padi Kunca.

Pengilang Cina memberi hutang kepada pesawah Melayu untuk beli barang mentah dan keperluan rumah. Tak mampu bayar balik, Melayu terpaksa jual kepada pengilang Cina itu. Lama kelamaan, hutang semakin besar lalu tanah pesawah Melayu diambil secara besar besaran oleh pengilang Cina. Taktik kapitalis Cina ini dipanggil "padi kunca".

2) Jentera wap dan kenderaan.

Syarikat British di Pulau Pinang menjual jentera wap dan kenderaan kepada pengilang Cina dengan menukar sengan beras daripada pesawah Melayu. Akhirnya, pengilang dan pemiutang Cina berubah menjadi pengangkut dan pemasaran. 

3) Diskriminasi perkauman.

Ada banyak juga orang Melayu yang terlibat dalam pemasaran tetapi pemborong utama ialah Cina. Banyak berlaku pilih kasih. Antara laporan yang terkenal ialah laporan orang Melayu terhadap Hock Kee & Co kerana peniaga Melayu dapat di bawah 160 beg beras, Cina dapat 300 beg.

Akhirnya, kartel beras mendaftarkan diri secara rasmi iaitu Persatuan Pengilang Beras. Keadaan ini berterusan walaupun selepas merdeka. Selepas rusuhan kaum pada 1969, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan. Antara produk DEB ialah Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). LPN ialah dasar berhaluan kiri untuk mengawal industri padi dan menjamin bekalan makanan asas. Pada 1996, fungsi LPN dipecah kepada 2. Urusan lesen kekal di tangan kerajaan tapi urusan pembekalan diswastakan. Ada 2 akta digubal, satu berkaitan syarikat pengganti, satu lagi dan Akta 522.

Fungsi yang diswastakan menjadi Padi Beras Nasional (BERNAS). Yang meneruskan penswastaan ini ialah Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan. BERNAS dipunyai oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan. 

Rang undang undang Akta Lembaga Padi dan Beras Negara dibahaskan, bukan diluluskan tapi dibahaskan oleh:

1) Wan Hanafiah Wan Mat Saman (Alor Setar)

2) Mohd Sharif Bin Omar (Setiausaha Kementerian Pertanian)

3) Ibrahim Ali

4) Fong Kui Lun (Klang)

5) Jamaluddin Jarjis

6) Yusof Adani (Tanjong Karang)

7) Qamaruz Zaman Ismail (Bagan Serai)

8) Shahidan Kasim (Arau)

Tak cukup diswastakan, Kementerian Kewangan Diperbadankan di bawah Anwar Ibrahim telah menjual saham BERNAS kepada orang lain melalui penyenaraian di BSKL. Bila dijual di pasaran terbuka, sesiapa pun boleh beli BERNAS termasuk orang asing. Ini membolehkan pada 2008, kapitalis Hong Kong, Wang Tak Co membeli saham daripada pasaran bebas dan menjadi pemegang saham terbesar. Ini tak boleh dielakkan sebab kerajaan tak boleh masuk campur dalam pasaran bebas.

Syed Mokhtar melalui Tradewinds (M) Bhd membeli balik saham daripada kapitalis asing itu. Dia tambah belian saham hingga BERNAS jadi subsidiarinya. Tapi, ada masalah, BERNAS masih lagi dijual di Bursa, maknanya bila bila masa kapitalis asing boleh beli lagi saham BERNAS.

Bagi mengelakkan saham BERNAS dibeli pihak asing, satu usaha perlu dibuat untuk keluarkan ia daripada Bursa. Ini dipanggil Penyahsenaraian (Delisting).

Mokhtar al Bukhari buat beberapa usaha untuk beli balik saham daripada pasaran bebas tapi gagal.  Susah sebab pemilik saham tak nak jual kepada Syed Mokhtar. Tapi dalam Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007, dia boleh paksa para pemegang saham degil tadi  untuk jual kalau nilai saham yang berjaya dibeli mencapai 90%. Pada 2014, ia dikeluarkan daripada Bursa.

Soalan pertama saya kepada Perdana Menteri ialah semasa dulu beliau jadi Menteri Kewangan, kenapa beliau bersetuju menswastakan BERNAS walhal dalam perbahasan parlimen, jelas dicadangkan BERNAS bertujuan mengimport 30% daripada keperluan beras negara. 

Soalan kedua kepada Perdana Menteri ialah beliau membenarkan saham BERNAS dijual di pasaran bebas hingga menyebabkan pelbagai masalah. Bukankah penyenaraian BERNAS di bawah beliau tiada beza dengan dengan penyenaraian Felda Venture Global yang beliau selalu kutuk.

Ketiga, Perdana Menteri sejak dulu lagi suka melabel BERNAS sebagai monopoli. Kalau BERNAS ialah monopoli, kenapa TNB, Telekom dan lain lain tidak dipanggil monopoli walhal monopoli dilarang dalam Akta Persaingan 2010. Adakah Perdana Menteri faham makna monopoli?

Menurut Akta Persaingan dan undang undang monopoli di banyak negara, monopoli hanya tertakluk kepada perniagaan manakala Perkhidmatan untuk kerajaan dan negara bukan perniagaan. Sebab itu, tol dan TNB tidak kena dalam maksud monopoli. Maknanya, Perkhidmatan oleh BERNAS bukan monopoli. TNB dan syarikat lebuhraya, seperti BERNAS juga pernah disenarai di Bursa. Maknanya, Perkhidmatan kepada negara boleh disenarai di bursa tanpa dipanggil monopoli.

Saya ada cadangan tapi saya senyap buat masa sekarang untuk elakkan idea saya dicuri kerajaan. Perdana Menteri buat macam isu ini ringkas. Kambing hitam orang itu, ini. Kalau orang itu tak baca sejarah terperinci, mungkin tertipu. Tapi tak semudah itu masalahnya. Dan bukankah asal usul masalah ialah bila Perdana Menteri semasa jadi Menteri Kewangan pada 1994 hingga 1997 telah terlibat dalam menswastakan dan menyenaraikan BERNAS?


Comments