Pemimpin Utama UMNO tuduh paling ramai orang miskin di Malaysia seperti Kelantan

 


SEBAGAI mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin harus berjiwa besar. Jangan mudah marah dan emosi. Kenyataan oleh YB Tan Sri Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang lewat petang kelmarin harus dicerna dengan kaca mata rasional. 

Cabang ilmu Islam ini cukup banyak Dato’ Seri, merangkumi segenap segi kehidupan manusia. Pentadbiran secara Islam adalah berbentuk khalifah atau disebut juga imamah al-uzma. Asasnya mudah, setiap keputusan kerajaan wajib berpandukan syariat Islam sama ada pada perlembagaannya, undang-undangnya, ekonominya dan lain-lain. Itu perkara ideal. Cuma di Malaysia kita perlu terus memperbaiki hal ini dari masa ke semasa.

Dato’ Seri jangan wewenang menuduh PAS jumud sekali gus menghina pula rakyat Kelantan dengan menulis “Yang pasti Johor bukan negeri paling ramai orang miskin di Malaysia seperti Kelantan”. Ini tidak sepatutnya terpacul keluar daripada mulut seorang mantan Menteri Besar.

Kata Dato’ Seri orang Johor tolak PAS sebab jumud dan bukannya tolak politik Islam? Bagaimana pula dengan Dato’ Seri yang ‘ditolak’ rakyat Johor apabila kalah di kerusi DUN Permas dengan hanya mendapat 20,047 undi kepada Dato’ Seri Che Zakaria Mohd Salleh (BERSATU) yang memperoleh 28,793 undi, dengan majoriti 8,746 undi? 

Adakah Dato’ Seri jumud pada waktu kalah itu? Bukan kalah satu, tapi kalah kedua kalinya di kerusi Parlimen pula! Itu malas pula saya nak sebut kalah satu negeri hinggakan Kerajaan Barisan Nasional Johor tumbang berganti dengan Pakatan Harapan. Itu sudah jadi kalah ketiga kalinya.

PAS dituduh lagi oleh Dato’ Seri sebagai menunggang agama? Sedarkah Dato’ Seri yang kami telah memerintah Kelantan lebih 30 tahun? Negeri kami paling banyak institusi pondok dan pengajian agama. Ditambah dengan puluhan ribu mahasiswa jurusan agama yang kini berkhidmat pula dengan kerajaan negeri. Kenapakah mereka terus mengekalkan PAS sebagai peneraju sekiranya mereka sedar PAS kononnya ‘menunggang agama’?

Yang menunggang agama sebenarnya adalah mereka yang kelihatan menitis air mata sewaktu bercakap soal kekuatan ummah pada saat tiada kuasa politik, dan mendongak muka sombong ke langit setelah beroleh kembali sedikit kuasa.

Rakyat Kelantan miskin Dato’ Seri? Terpaksa hijrah kerja luar negeri? Dato’ Seri, berapa ramai rakyat Johor yang mencari rezeki di Kuala Lumpur? Lembah Klang? Itu belum lagi dikira ribuan orang yang beratur setiap hari untuk masuk bekerja di Singapura. Bagaimana seorang mantan Menteri Besar boleh lupa?

Kelantan bermasalah dengan air bersih adalah hakikat yang semua kami terima. Kenapa bekalan air kami tidak cukup Dato’ Seri? Sejarah kezaliman kerajaan terdahulu yang menganaktirikan Kelantan tidak diingati oleh Dato’ Seri? 

Kami dalam proses menukar paip-paip lama yang sering menatijahkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi. Air kami banyak, sumber bersih, hanya fasiliti kami yang sedang ditambah baik. 

Akan tetapi lupakah Dato’ Seri akan bencana Sungai Kim Kim? Ia menggemparkan negara sedikit masa lalu apabila ribuan penduduk Pasir Gudang hidup dalam keadaan ketakutan angkara udara dicemari toksik. Di sebalik kejadian ini juga, data Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tahun 2017 mendedahkan Johor merupakan antara negeri yang mempunyai paling banyak sungai tercemar!

Statistik data JAS mendapati Johor mempunyai 28 sungai tercemar dalam kelas tiga hingga kelas lima. Malah lebih menakutkan, Sungai Tukang Batu di Pasir Gudang menjadi satu-satunya sungai di negara ini yang berada dalam kategori kelas lima iaitu sungai paling teruk tercemar. Dato’ Seri tahu di mana Pasir Gudang ini? Ia adalah tempat di mana Dato’ Seri telah ditolak oleh rakyat Johor kerana Dato’ Seri tidak jumud seperti PAS.

Saya baru pulang membantu kempen jentera PAS di Johor dan mendapati pengundi di sana matang dalam menerima arus baharu politik dan tidak ‘beriman’ dengan dakwaan hanya Umno sahaja yang mampu memerintah. Realitinya politik Melayu mesti memimpin seluruh rakyat Johor tanpa mengira agama dan bangsa ke arah keharmonian serta toleransi.

MOHD AZREEN MUSTAPHA
Darulnaim Research Centre

Comments