Tuan Guru Hj Abd Hadi menegaskan bahawa PAS teguh berpegang dengan persefahaman yang di capai dalam Muafakat Nasional untuk menyatukan ummat islam Melayu dari pelbagai parti politik dan badan bukan kerajaan atau individu. Penegasan ini adalah jawapan tuntas mengapa PAS memilih Perikatan Nasional namun tidak menolak Muafakat Nasional.
Menyatukan ummat Melayu islam bukan kerja mudah. Ia amat sukar terutama dalam mengimbangi hasutan musuh, keangkuhan sahabat dan keghairahan sebahagian darinya mencapai matlamat dan cita cita peribadi. Selagi matlamat dan tujuan tidak disatukan, selagi itulah ia akan menjadi duri dalam daging usaha besar itu.
Muafakat Nasional ditubuhkan untuk menyekat Pakatan Harapan yang rakus berkuasa hingga merugikan kuasa islam dan ummat Melayu. Dengan dominasi DAP, PH seakan kuasa luar yang merobek kedaulatan ummat islam dan ketuanan bangsa di negara kita. Atas kesedaran itu, Muafakat Nasional dilancarkan bagi mencapai tujuan dan harapan besar. Ia di bina di saat PAS kekal sebagai pembangkang dalam negara dan Umno mula merasai kesengsaraan menjadi pembangkang.
Kesusahan biasanya menyatukan manusia untuk berjuang. Bunga penyatuan itu mula berbuah dengan himpunan Muafakat Nasional di PWTC yang melahirkan secara rasmi piagam bersama. PAS membuktikan kesetiaan dengan memberi sokongan penuh kepada BN dalam tujuh PRK yang berlaku. Tiada satu pun kerusi dituntut PAS walaupun secara adab persahabatan wajar bagi umno mempertimbangkan ruang untuk PAS bertanding atas dasar pengorbanan dan kesetiaan dalam penyatuan. Terdengar desas desus harapan itu dalam PRK di Tanjong Malim namun berlalu begitu sahaja.
Langkah permulaan penyatuan itu tidak perlu menunggu lama apabila Bersatu dan beberapa MP dari PH menyambut seruan penyatuan ini dan menjatuhkan kerajaan "hancing" 22 bulan. Rakyat bagai terlepas dari bencana angkara kesilapan termakan janji palsu PH.
Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional dilihat boleh bersama dengan Bersatu atas tujuan menyekat kemusnahan negara. Domino itu menjatuhkan satu persatu kerajaan negeri PH selepas persekutuan. Kedah, Perak, Johor dan Melaka . Satu dipimpin PAS, Dua dipimpin oleh umno dan satu oleh Bersatu. Ia dilihat sangat harmoni.
Belum sempat lama, Umno menggerakkan langkah menukar Menteri Besar Bersatu di Perak. Dengan sokongan PH, Menteri Besar Perak bertukar kepada Umno. Langkah itu berterusan di peringkat Persekutuan apabila TSMY di tukar dengan PM dari Umno, Datuk Seri Ismail Sabri.
Penyatuan kian goyah.
PRN Sabah ada kisahnya yang tersendiri. Ia seakan kemuncak apabila umno mendesak PAS memilih Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional dalam PRN Melaka.
Penegasan TGHH bahawa Muafakat Nasional bermatlamat menyatukan ummah. Bukan hanya Umno dan PAS. Kenyataan TGHH di sambut Timb Presiden Umno Tok Mat Hasan. Katanya, memaksa umno menerima Bersatu bercanggah dengan piagam MN. Beliau juga berkata bahawa Umno tidak mengajak PKR dan PAN menyertai MN untuk menjaga hati PAS. Satu kenyataan yang jelas keliru dan mengelirukan kerana saya tidak pernah temui kenyataan pimpinan PAS melarang PKR atau Bersatu menyertai MN.
Dari kenyataan balas itu, seakan ada pihak yang tidak memahami piagam Muafakat Nasional. Apakah ia gabungan semua atau hanya umno dan PAS? Jika hanya umno dan PAS, bagaimana pula terbentuk kerajaan Perkataan Nasional sebelum ini? Apakah ia hanya peluang menyambung nyawa untuk kembali berkuasa? Jika itu tujuannya, penyatuan yang di harap hanya palsu dan tidak kekal lama. Usahlah lagi di dendang kenangan airmata PWTC jika ia hanya untuk kepentingan sendiri, bukan ummah dan negara ini.
Fairuz Hafiizh Othman
Ipoh, Perak
Comments
Post a Comment