Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kepada rakyat Melaka untuk memutuskan sama ada pemilihan Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan sebagai calon pakatan itu langkah tepat atau sebaliknya.
Mengakui ada pemimpin dalam pakatan itu yang tidak bersetuju dengan pencalonan kedua-dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini mewakili UMNO, Ketua Pemuda PH Howard Lee Chuan How enggan memberi pandangan peribadinya.
Namun dia mengakui Pemuda PH akur dengan keputusan pimpinan tertinggi pakatan itu untuk mencalonkan kedua-duanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di bawah tiket PH.
Howard mengakui ada pemimpin kalangan ahli PH tidak bersetuju dengan keputusan itu, dengan asas yang kukuh dan kuat, tetapi enggan memberi pandangan peribadinya.
“Saya tak nak menyatakan pendirian peribadi saya, sebab ini (platform) bukan tempat dia tetapi amat jelas ada yang tidak setuju dalam Pakatan Harapan, dan memang asasnya kukuh dan kuat.
“Akan tetapi apabila keputusan telah dibuat secara berjemaah, itulah keputusan yang perlu diakur dan bagi saya yang penting adalah rakyat Melaka akan tentukan sama ada itu adalah keputusan yang tepat, dan kita tidak mendahului dan tidak mahu dan tidak akan mendahului keputusan rakyat negeri Melaka,” katanya pada satu sidang media, di Melaka hari ini.
Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat pengumuman itu berkata Idris akan bertanding di kerusi Asahan iaitu kerusi tradisi PKR, manakala Nor Azman kekal di Pantai Kundor, kerusi tradisi Parti Amanah.
Lee berkata dia sendiri merasakan terdapat perbualan serta naratif negatif yang akan timbul kesan daripada keputusan tersebut, namun menganggap perkara itu sebagai lumrah dan fitrah dalam pilihan raya.
“Bagi saya yang penting sekarang adalah kita sampaikan apa yang Pakatan Harapan tawarkan dan bakal bawa sebagai agenda pentadbiran Pakatan Harapan negeri Melaka (sekiranya menang) nanti,” katanya.
Terdahulu, Lee berkata Pemuda PH sangat mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan Majlis Presiden PH mencalonkan ramai individu daripada sayap pemuda parti gabungan itu untuk PRN Melaka, dengan lebih 35 peratus atau 10 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal ditandingi - AD
Comments
Post a Comment