Skip to main content

PRN Melaka: DAP konsisten mahu Adly Zahari jadi Ketua Menteri - Anthony Loke

 


AYER KEROH: DAP menyokong Pengerusi Pakatan Harapan Melaka Adly Zahari di pilih sebagai Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan pada PRN Melaka 20 Nov ini.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, wujud sentimen negatif sebaik dua nama itu sah menjadi calon PH, namun tegasnya lagi, fokus partinya adalah memastikan PH kembali jadi kerajaan negeri.
Selain itu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, sebaik PH berjaya mendapat mandat semula, bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari layak menjawat jawatan itu semula.
“Pendirian kita jelas, walaupun kita tidak setuju dengan pencalonan dua calon tersebut, tetapi kita tetap mahu menangkan PH. Fokus DAP ialah untuk memastikan lapan kerusi yang kita pertandingkan, boleh capai kemenangan dan sumbang kepada PH.
“Dan sekiranya PH berjaya membentuk negeri, pendirian DAP tetap meyokong Adly Zahari sebagai sebagai Ketua Menteri Melaka,” katanya dalam sidang media DAP sempena PRN Melaka, hari ini.
Terdahulu, keputusan PH mencalonkan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, serta Datuk Nor Azman Hassan untuk DUN Asahan dan Kundur, menimbulkan kemarahan kerana tidak mematuhi prinsip anti calon lompat parti.
Namun, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Idris dan Nor Azman bukan pengkhianat, sebaliknya tindakan mereka adalah demi memastikan mandat kembali kepada PH.

Comments