KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyambut baik ketegasan Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak sebarang kompromi bersama kelompok kleptokrat yang cuba mengganggu gugat proses pentadbiran negara serta menginginkan berlakunya penyalahgunaan kuasa.
Menurut Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, DUPP juga kesal dengan sikap rakus segelintir pimpinan politik yang mahu mendapatkan kuasa tanpa mengira keresahan dan kesusahan yang sedang dihadapi oleh rakyat.
Bahkan sehingga membawa kepada situasi politik yang tidak stabil dan harmoni serta mendorong kepada peletakan jawatan Perdana Menteri bersama Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN), katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Selain itu, pihaknya juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke-9 di atas sumbangan dan keringat yang dicurahkan beliau.
“DUPP merakamkam ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas sumbangan dan keringat yang telah dicurahkan sepanjang memimpin Kerajaan Perikatan Nasional selama hampir 18 bulan.
“Walaupun tempoh kepimpinan yang singkat, Tan Sri telah melakukan yang terbaik untuk manfaat negara dan rakyat khususnya dalam menangani pandemik Covid19.
“DUPP mendoakan segala sumbangan yang telah diberikan oleh Tan Sri serta seluruh jamaah Menteri dan Timbalan Menteri diberkati dan diredhai Allah SWT. Semoga Allah SWT anugerahkan yang terbaik untuk Ummah dan negara,” ujarnya sambil menitipkan doa supaya rakyat Malaysia memperoleh pemimpin yang baik.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa semalam pada sesi menghadap di Istana Negara.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020 khususnya dalam memerangi pandemlk Covid-19. – HARAKAHDAILY
Comments
Post a Comment