8 OGOS: Siasatan kes dakwaan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran bahawa ada pihak tertentu menawarkan wang tunai RM30 juta dan jawatan menteri jika beliau menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, mengesah pihaknya menyerahkan kes terbabit kepada SPRM kerana dakwaan berkenaan berkaitan dengan kes pemberian rasuah.
Bagaimanapun, Mior Faridalathrash, mengesahkan Polis Perak ada menerima laporan berhubung kkes itu yang dibuat oleh pegawai khas, Ahli Parlimen terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak, semalam.
“Ya. Kita memang ada menerima laporan daripada pegawai khas YB Kulasegaran, semalam, namun siasatan kes sudah diserah kepada SPRM kerana berkaitan dengan dakwaan rasuah,” katanya ketika dihubungi wartawan PNBBC di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pegawai khas Kulasegeran yang juga bekas Menteri Sumber Manusia iaitu Jeremy Chuah membuat satu laporan polis berhubung dakwaan terdapat individu tidak dikenali cuba menyogoknya menyokong Perikatan Nasional (PN) dengan menawarkan habuan wang tunai bernilai RM30 juta serta dilantik menteri.
Sementara itu, Kulasegaran berkata, individu berkenaan bertindak menghantar dua mesej melalui WhatsApp menerusi Setiausaha Sulitnya, Jeremy Chuah.
“Kandungan kedua-dua mesej berkenaan adalah mengenai tawaran posisi menteri, wang, peruntukan penuh kepada konstituensi Ipoh Barat dan lain-lain inisiatif.
“Ini sangat jelas membuktikan bahawa perbuatan ini mengandungi unsur rasuah untuk ‘membeli’ Ahli Parlimen Ipoh Barat,” katanya ketika hadir untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di Perak, semalam.- Oleh HAIKA KHAZI

Comments
Post a Comment