Sungguh panas dan menggemparkan negara hari ini berkenaan
isu Pembatalan Ordinan Darurat.
Berikut saya ringkaskan kenyataan media Pejabat Perdana Menteri yang memperjelaskan apa yang berlaku.
Terserah untuk dibaca, difahami dan dinilai sendiri oleh sekalian rakyat.
Ringkasan Kronologi Isu Pembatalan Ordinan Darurat
21 Julai 2021:
Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil ketetapan-ketetapan
seperti berikut:
1) Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat
perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong;
2) Jemaah Menteri tidak akan menasihati Agong untuk membuat
Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021;
dan
3) Oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri
memutuskan untuk menasihati Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang
dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat
berkuatkuasa.
22 Julai 2021:
Pejabat Perdana Menteri terima Deraf Ordinan (Pembatalan)
2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.
23 Julai 2021:
Perdana Menteri mengutuskan warkah kepada Agong untuk
menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan
dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku mengenainya.
Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak
mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40
Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 40 (1) memperuntukkan:
"Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini
atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak
mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak
di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan
selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas
permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan
Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri."
Manakala Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan:
"Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini
atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki
bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat,
Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat
itu."
24 Julai 2021:
Agong menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan
penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.
26 Julai 2021:
Semua Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Namun, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya
Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat.
YB Kota Bharu, Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal
undang-undang telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan,
iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan
darurat berkenaan.
Ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan
kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus.
Pemakluman oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen
dan Undang-Undang) telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan Agong
ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021.
27 Julai 2021:
Perdana Menteri dan Peguam Negara memohon menghadap Agong pada untuk menjelaskan kedudukannya.
Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah sekali lagi
memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat
tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh
pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.
Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan
Kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh
Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati Agong untuk
membatalkannya.
Sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang
diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat
yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk
mengungkai ordinan darurat.
Oleh sebab itu, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk
menasihati Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum Mesyuarat Khas
Parlimen bermula.
Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini adalah
teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan
Persekutuan.
Perdana Menteri menasihatkan rakyat supaya sentiasa
bertenang dan insyaAllah isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas
undang-undang dan perlembagaan.
Comments
Post a Comment