PETALING JAYA: Tindakan seorang ahli politik bergelar Datuk
didakwa mencabul rakan baik isterinya di rumah wanita itu di Taman Bukit
Melawati di sini, tahun lalu terbongkar.
Kegiatan terkutuk ahli politik itu terbongkar selepas mangsa
berusia 48 tahun membuat laporan polis pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk
Eshak berkata, wanita itu mendakwa suspek berusia 50-an bersama isterinya
berkunjung dan turut bermalam di rumahnya sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.
“Pada awal pagi, semasa mangsa sedang tidur di ruang tamu
tiba-tiba dia tersedar apabila merasai bahagian badannya disentuh seseorang.
Suspek yang menyedari mangsa tersedar daripada tidur terus beredar pulang
bersama isterinya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Farouk berkata, selepas kejadian itu mangsa tidak membuat
laporan polis kerana takut dan bimbang akan merosakkan hubungan mereka, selain
suspek adalah ahli politik berpengaruh di sebuah negeri di Pantai Timur.
Bagaimanapun katanya, mangsa kemudian nekad untuk membuat laporan
polis pada Selasa lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul
dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan,” jelasnya.

Comments
Post a Comment