Kuala Lumpur: Pengasas aplikasi laman sesawang dan aplikasi temu janji Sugarbook ditahan semula berhubung kes rogol dan menawarkan khidmat seks.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, polis menerima laporan daripada pengadu yang juga penuntut sebuah institut pengajian tinggi (IPT).
"Kes berlaku di Subang Jaya pada 19 Februari 2019.
"Berikutan itu, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 372 kanun sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Fadzil berkata, pihak pendakwaan negeri turut membuat permohonan semakan ke atas keputusan Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi yang menolak permohonan reman terhadap suspek.
Menurutnya, permohonan akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam pada 9 pagi esok.
Mahkamah hari ini menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman pengasas aplikasi Sugarbook bagi membantu siasatan dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.
Peguam yang mewakili lelaki itu, Foong Cheng Leong berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noorasyikin Sahat menolak permohonan pihak berkuasa berkenaan selepas anak guamnya memberi aku janji akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.
Terdahulu, lelaki berusia 34 tahun yang berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan pada 4.30 petang semalam di sebuah kondominium di ibu negara.

Comments
Post a Comment