Bekas pengerusi Amanah Pahang hilang kepercayaan pada parti & menyertai Pejuang


 

Seorang lagi penggerak Parti PAN didapati sudah menyertai parti lain hari ini.

Individu itu adalah pengerusi PAN Pahang Hamzah Jaafar yang hari ini diumum sebagai ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi negeri itu.

Senarai ketua Pejuang negeri-negeri berkenaan dikeluarkan setiausaha agung penaja Pejuang, Marzuki Yahya.

Hamzah ialah bekas calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi DUN Dong pilihan raya umum lalu dan dilantik menjadi pengerusi Amanah negeri sehingga 2019.

Dalam pemilihan Amanah pada tahun tersebut Hamzah gagal mendapat undi mencukupi sebagai sebahagian daripada pimpinan Pahang.

Khalid Samad memberitahu, Hamzah ada memberitahu dia ditawarkan untuk menyertai PKR dan Pejuang sebelum ini.

Bagaimanapun kata Khalid, Hamzah belum lagi membuat keputusan mengenainya.

"Kalau Pejuang belum daftar (sebagai parti), maka membantu Pejuang tiada masalah. Dia bukan jadi ahli," katanya.

Terdahulu Hamzah pernah menjadi ahli PKR sejak Julai tahun lalu sebelum menyertai Pejuang. Ini berdasarkan surat keanggotaan Hamzah yang dilihat menyertai PKR pada 23 Julai 2020.

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi PAN Pahang Zulkifli Mohamed.

“Hamzah sudah keluar Amanah sejak Julai tahun lalu untuk masuk PKR.

“Hal ini sudah dimaklumkan oleh Pengerusi PKR Pahang Fuziah Salleh kepada saya tahun lalu.

“Saya faham kalau YB (Khalid) tak tahu kerana Hamzah tidak menyatakan dia keluar PAN secara terbuka,” jelasnya. 

Sementara itu sumber Amanah mendakwa sebelum ini Hamzah memang disebut-sebut mahu bertukar parti dan ia kedengaran sejak tahun lalu lagi.

"Asalnya dia seperti mahu menyerai PKR, tapi selepas berjumpa Dr Mahathir (Mohamad) dia memilih Pejuang," katanya.

Pejuang merupakan parti serpihan Bersatu yang diterajui Mahathir bersama beberapa bekas pemimpin parti berkenaan.

Semalam, tiga Adun Amanah dari Johor iaitu Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) menyertai PKR.

Tahun lepas, dua Adun Amanah dari Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) turut mengambil langkah serupa.

Untuk rekod, sebelum ini dilaporkan Amanah berdepan dengan konflik dalaman dipercayai berhubung isu hala tuju parti sama ada untuk cenderung kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim atau Mahathir.

Ia antaranya dikaitkan dengan pertemuan Mahathir, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pada 29 Oktober lalu yang dikatakan membincangkan isu “kerajaan perpaduan”.

Comments