Belanjawan 2021: RM1.4 bilion peruntukan pengurusan, pembangunan hal ehwal Islam, Institusi tahfiz dan sekolah pondok

 


KUALA LUMPUR - Sejumlah RM1.4 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kadar elaun Guru Takmir dinaikkan daripada RM800 kepada RM900 sebulan bagi menghargai jasa 4,000 Guru Takmir yang menjadi penggerak komuniti di peringkat kariah.

Selain itu, Bayaran Khas One-off sebanyak RM500 turut diberikan kepada para Imam, Bilal, Siak, Noja, Merbut, dan Guru KAFA.

Pemberian bantuan khas ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 70,000 orang di seluruh negara.

“Sebanyak RM29 juta juga diperuntukkan bagi melaksanakan program-program TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) antaranya inisiatif pendidikan Islam dan pembelajaran sepanjang hayat kepada 15,000 pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok," katanya.

Pelan Induk Wakaf Nasional juga akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap.

Selain itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan memperkenalkan perkhidmatan wakaf kepada semua pemegang unit amanah sahamnya.

Comments