Ketika negara berada dalam kesusahan akibat COVID-19 yang melanda, sepatutnya masa ini, kita pakat-pakat membantu, sumbangan apakah yang terbaik yang boleh diberikan
Ini tidak, pergi mengadap YDPA, bagi tujuan mengatakan bahawa sokongan majoriti telah diperolehi bagi menumbangkan kerajaan yang diterajui oleh PM Muhyiddin Yassin
Dikuti, dengan yakinnya, dalam sidang akhbar, beliau berkata, majoriti telah diperolehi, kerajaan pimpinan Muhyiddin telah tumbang.
Sejurus pertemuan itu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan antaranya yang berbunyi, dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, beliau telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.
Walaubagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.
Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati beliau untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mengucap panjang saya. Wayang apakah yang sedang dimainkan ini? Perkara sebegini serius pun tidak dibuat begitu serius.
Sebelum ini, beliau ada menyebut bahawa dalam majlis mengadap YDPA, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli parlimen yang kukuh dan meyakinkan sepertimana yang disebut sebelum ini.
Ternyata, kenyataan beliau agak bercanggah?
Sudah tentu sebagai rakyat jelata yang berpandukan kepada Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, pastinya titah diRaja jauh lebih dipercayai daripada kata-kata mainan orang politik.
Sudah-sudahlah. Banyak lagi kerja kita. Rakyat sudah bosan dengan permainan ini. Banyak masa dan tenaga habis begitu sahaja.
Sedih tengok wartawan, sanggup bersusah payah berjemur, menanti di luar Istana untuk mendapatkan bahan berita, sehingga YDPA mencemar duli, menghulurkan sarapan untuk mereka.
Tunggu punya tunggu, rupanya kenyataan berita yang diberikan sekadar hampas. Nasib baiklah Istana Negara cepat-cepat mengeluarkan kenyataan. Jika tidak, sudah tentu kita semua terpedaya.
Berhentilah daripada permainan politik ini. Kita, sebagai rakyat marhaen sudah letih dengan tindak-tanduk pemimpin politik yang menjengkelkan ini.
Mohd Ridhuan Tee Abdullah
13 Oktober 2020

Comments
Post a Comment