KOTA KINABALU: Ketua Penerangan PKR Sabah Simsudin Sidek memilih untuk meletakkan jawatan itu selepas gesaannya supaya parti itu diberikan 14 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak menjadi kenyataan.
Simsudin, yang merupakan ketua PKR Labuan berkata, beliau menerima dan menghormati keputusan kempimpinan negeri yang sebaliknya menerima 7 kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu oleh gabungan Warisan Plus.
Beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua penerangan menerusi kenyataan pada Jumaat.
“Saya berpendapat dengan pentambahan ahli dan jumlah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), sewajarnya parti diberikan bahagian yang lebih baik dan adil dalam pengagihan kerusi.”
Bagaimanapun katanya, beliau akan terus setia pada PKR yang disertai lebih 20 tahun lepas dan kekal sebagai ketua PKR Labuan.
Dalam gesaannya pada Rabu, Simsudin berkata, PKR Sabah menerima kenyataan bahawa mereka diberikan 8 kerusi negeri dan 6 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 2018.
Beliau berkata, parti itu menerima pembahagian itu atas dasar niat baik dan persahabatan dengan sekutunya, terutama Warisan.
Bagaimanapun katanya, parti itu kini mempunyai lebih 170,000 ahli di Sabah, iaitu jumlah keahlian ke-2 paling tinggi selepas PKR Selangor.
“Justeru parti bercadang untuk meletakkan 14 calon, iaitu pertambahan yang wajar memandangkan bilangan kerusi DUN Sabah kini bertambah dari 60 ke 73 dalam pilihan raya ini,” katanya.
Pada pilihan raya umum 2018, PKR memenangi hanya 2 daripada 8 kerusi negeri yang ditandingi, dan 3 daripada 6 kerusi Parlimen - FMT
Comments
Post a Comment