Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau sudah mendapat majoriti kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut berapa kerusi diperolehnya.
"Alhamdulillah, kini saya sudah ada majoriti kukuh dan meyakinkan.
"Ingin saya nyatakan, majoriti yang menyokong juga adalah dalam kalangan Melayu dan Islam," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau seterusnya akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi memaklumkan sokongan yang diperolehnya.
Beliau mendakwa telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jam 11 pagi semalam, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.
Katanya, sokongan yang diterimanya adalah terdiri daripada pelbagai parti, namun tidak mendedahkan secara terperinci.
Kepada soalan jumlah kerusi diperolehnya, Anwar berkata majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.
"Bukan, empat, lima atau enam (Ahli Parlimen) tetapi lebih daripada itu," katanya.
Anwar juga berkata beliau mempunyai dokumen tetap yang tidak boleh diragui bagi membuktikan bahawa beliau kini mempunyai majoriti dan butiran mengenainya akan hanya diberikan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong - BH
Comments
Post a Comment