Pembinaan Institut Jantung di Strawberry Park Kijal antara jasa terbesar Ahmad Said

 


KEMAMAN – Pusat peranginan ‘Strawberry Park Resort’ yang dibeli oleh kerajaan negeri Terengganu dengan harga RM27 juta dekat sini, terbiar dan tidak diambil peduli sehingga menjadi belukar.

Pada 5 Januari 2010 Bekas Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said dilaporkan agensi Bernama berkata, kerajaan negeri telah membeli ‘resort’ tersebut dan mendakwa untuk dijadikan institut jantung serta kerja-kerja mengubahsuai akan dijalankan segera.

Bernama pada 10 Julai, 2010 turut melaporkan, Institut Jantung negeri Terengganu dijangka mula beroperasi tahun 2011 sebaik sahaja proses pengubahsuaian bangunan pusat peranginan itu di Teluk Senajang selesai.

Premis yang sebenarnya telah dibeli sejak November 2009 itu telah menjadi ‘liabiliti’ dan pembaziran kepada wang rakyat yang berjumlah puluhan juta ringgit, selama lima tahun

Pernah ADUN Chukai Haji Hanafiah Mat secara berseloroh, apabila ditanya tentang pusat peranginan terbiar itu berkata, ‘ia sudah berhantu’.

Pernahkah anda semua melihat wang kertas sebanyak RM1 juta ringgit? Bagaimana pula banyaknya wang berjumlah RM27 juta?

Sebuah Rumah (Pangsa) Mesra Rakyat Taman Batin Perdana umpama yang di bina di dalam DUN Seberang Takir, berkeluasan 750 kaki persegi mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air, bernilai RM77,000 sebuah.

Bermakna dengan wang RM27 juta, sebanyak 350.65 buah rumah sedemikian dapat dibina dan diagihkan kepada 350 buah keluarga miskin secara percuma.

Menurut laman sesawang Jabatan Kerja Raya negeri Terengganu, sebuah masjid di kampung Banggol, Setiu, dibina dengan kos RM2.7 juta, dan dengan wang RM27 juta, 10 buah masih baru dapat dibina.

Sebuah Balai Bomba seperti yang dibina di kampung Paya Besar Hulu Terengganu siap dengan kos RM 2.8 juta.

Sekiranya wang membeli resort itu masih ada, sebanyak hampir 10 buah balai bomba dapat di bina dan dapat menyelamatkan pula kerugian ratusan juta akibat kebakaran.

Adakah ini antara jasa yang terbesar pernah Ahmad Said lakukan untuk rakyat negeri Terengganu setelah dengan angkuhnya beliau menyatakan PAS tidak pernah membuat jasa untuk rakyat negeri Terengganu.

Comments